Wednesday 25 January 2012

Plain Butter Cake

Semalam saya dan keluarga besar saya baru jer balik dari KL. Adik saya dan keluarganya dah pulang ke Gerik. Saya pula masih bercuti. Mak dah start kerja hari ni. Opah dan tok masih di rumah Mak Cho. Petang nanti baru nak ambil.

Dalam boring-boring keseorangan teringin pula nak cuba kek butter. Saya dapatkan resepinya dari Myresepi. Kadangkala terfikir lak, saya dok beli banyak buku resepi. Macam-macam buku ada tetapi bila time nak masak atau nak cuba resepi baru mesti cari kat blog, rasanya lebih mudah ..... 

Ok lah kat bawah ni saya kongsikan cara nak buat kek butter. Bila catat kat blog ni pun memudahkan saya juga. Bila time nak buat semula cari jer dalam blog, senang dan pantas. Kalau tak buat sebegini, ada waktu-waktunya kita mudah terlupa tambahan bila lama tak buat, mulalah jenuh nak memikirkan semula bahan-bahannya. Dengan adanya blog ni semuanya mudah, segera, cepat dan pantas. Hanya dengan satu klik saja semuanya dah tersedia .... hehehe ....


Bahan-Bahannya:
  • 1 cawan Buttercup
  • 1 cawan gula kastor
  • 2 cawan tepung gandum
  • 1 sudeh teh sodium bicarp
  • 1 sudu teh baking powder
  • 1 sudu teh esen vanilla
  • 4 biji telur ayam
  • 1/2 cawan susu segar


Cara Penyediaan:
  1. Putar buttercup dan gula kastor hingga kembang.
  2. kemudian masukkan telur sebiji demi sebiji. (Putar sebiji demi sebiji). 
  3. Bila dah kembang dan ringan masukkan pula esen vanila, sodium bicarp, baking powder.
  4. Masukkan tepung gandum dan gaulkan hingga rata.
  5. Panaskan oven pada suhu 180 darjah selama 20 minit.
  6. Bila dah siap semuanya masukkan dalam loyang dan bakar selama 30 minit.



Sunday 22 January 2012

Ayam Panggang Madu

Hari ni saya buat ayam panggang madu. Mudah dan cepat jer membuatnya. bahan-bahan yang digunakan pun tak banyak. Rasa amat-amat menyedapkan kalau ikut anak tekak saya .... hehehe ... tapi ahli keluarga saya pun kata sedap terutama tok saya .... yang penting garing yakni ayam tu mesti betul-betul cukup masak.

Ayam ni sebenarnya sesuai juga untuk dimakan dengan nasi ayam tapi saya selesa makannya dengan nasi putih atau meratahnya dengan air asam. Sungguh menyelerakan.

Saya kongsikan cara nak membuatnya. Resepi yang amat-amat mudah .....


Bahan-Bahannya:
  • 3 belah ayam bahagian dada atau paha (tapi mana-mana pun boleh sebenarnya). Ayam tu jangan dipotong kecil. Biarkan besar-besar. Kalau seekor ayam, potong empat jer. Dah masak baru potong.
  • Sedikit kicap
  • Sedikit madu
  • Sedikit sos tiram


Cara Membuatnya:
  1. Panaskan oven dalam suhu 180 darjah selamat 20 minit sebelum memanggang.
  2. Ayam diperap bersama kicap, sos tiram dan madu selama 30 minit. Lumurkan bahan-bahan ini disetiap celahan ayam supaya rata.
  3. Masukkan ke dalam oven. Bakar selama 1 jam. 
Nota: Selain dari dibakar di dalam oven, boleh juga digoreng di dalam kuali tetapi saya lebih suka membakarnya di dalam oven. Cepat dan mudah.

Monday 16 January 2012

Masak Merah Ikan Bawal

Selain daripada masak tom yam campur sebagai hidangan tengah hari, saya juga masak ikan bawal masak merah. Lama benar tak makan ikan bawal masak merah, salah satu makanan kegemaran saya. Diringkas cerita, saya kongsikan resepi masak merah ikan bawal ni.


3 ekor ikan dipotong dan dibasuh. Bubuh kunyit dan garam kemudian gorengkan dalam minyak yang panas.  Manakala untuk kuah pula, blender 2 biji bawang besar, 3 ulas bawang putih, 1/2 inci halia dan 1 batang serai. Selepas ikan siap digorengkan, buang sedikit minyak ikan tadi. Kemudian tumis bahan-bahan yang telah diblender tadi bersama 1 batang kayu manis, bunga 1 kuntum bunga lawang dan 2 kuntum bunga cengkih hingga naik baunya. Bubuh sedikit garam dan ajinomoto. Lepas tu, masukkan 3 sudu cili kering yang telah di blender, biar hingga naik minyak (kalau tidak nanti terasa cabainya). Masukkan juga 2 sudu cili sos dan sedikit air. Agak-agak nak masak, masukkan bawang besar yang dipotong bulat dan cili merah sebagai hiasan. Bila dah siap, tuangkan kuah masak merah tadi ke dalam ikan.

***Kalau nak masukkan ikan ke dalam kuali pun boleh juga sebelum dihidangkan. tapi tak perlu lama-lama***



Tom Yam Campur


Bahan-Bahan:
  • 1/2 kilo udang
  • 8 ekor sotong
  • 2 biji tomato
  • Bebola ikan
  • 5 batang  jagung muda dipotong serong
  • Cendawan
  • 1 bungkus pes tom yam adabi
  • 2 batang serai diketuk
  • 2 biji bawang besar dipotong bulat
  • 2 ulas bawang putih diketuk
  • 4 helai daun limau purut
  • 6 biji cili padi diketuk
****untuk sayur-sayuran, boleh juga diletakkan lobak merah, kubis, bunga kubis dan sebagainya****


Cara Penyediaan:
  1. Isikan air dalam periuk. Bubuh pes tom yam, bawang putih, cili padi, daun limau purut dan serai. Masukkan udang dan sotong. Biarkan seketika.
  2. Kemudian masukkan semua sayur-sayuran tadi dan juga bebola ikan. Bubuh garam. Bila dah masak boleh diangkat.
***Anda sesetengah orang suka tumis dahulu, bawang putih dan pes tom yam tadi dan kemudian baru dimasukkan ayam, udang atau sotong. Tapi saya tak suka****

Cucur Bom Manis

Hari ni saya cuti. Mulai hari ni saya akan bercuti hampir 2 minggu. Saja ambil cuti sebelum semester bermula semula bulan Februari nanti. Masa hantar mak pagi tadi, mak tanya nak beli nasi lemak ke untuk tok dan opah. Saya kata tak payah, sebab nanti saya pun akan turut makan sekali. Sekarang ni kerap saya makan nasi lemak dan saya lihat makin bertambah berat badan saya. Dalam kepala terfikir-fikir apa nak makan untuk sarapan, atau makan roti kering jer ke ... tapi kesian lak kat opah ngan tok kalau makan roti kering jer. Jadi saya search kat internet perkataan yang bermula dengan 'cucur'  dan akhirnya saya jumpa resepi yang paling mudah iaitu Cucur Bom Manis. Semua bahan dah ada kat dapur, jadi saya pun decide nak cuba resepi yang mudah ni ....

Oh ya lupa lak nak bagi tau, resepi ni saya ambil dari laman blog Mas. So bagi yang nak kunjungi laman blog Mas boleh klik kat sini http://mas-dapurmas.blogspot.com. Terima kasih ya Mas sebab sudi berkongsi resepi. Cara paling mudah untuk menyiapkan sarapan pagi.


Bahan-Bahan:
  • 3 cawan tepung gandum
  • 1 1/2 sudu besar gula (gula jangan banyak sangat nanti terlalu manis dan melekat)
  • 2 sudu susu lemak manis
  • Sedikit bicarbonat
  • Secubit garam
  • Air
  • Minyak untuk menngoreng
***kalau ikut resepi asal, ada bubuh yis, tapi saya tak bubuh. Saya gantikan dengan bicarbonat. Itulah saya kalau tak mengubahnya memang bukan saya ler hehehe ^_^****


Cara Penyediaan:
  1. Masukkan gula, garam, susu dan sedikit bicarbonat ke dalam mangkuk. Kemudian bubuh tepung gandum.
  2. Masukkan air sedikit demi sedikit. Kacau hingga sebati.
  3. Panaskan minyak dalam kuali dan goreng hingga kekuningan.

Sunday 15 January 2012

Ayam Panggang Lada Hitam

Hari ni saya masak nasi ayam lagi. Teringin sangat nak makan nasi ayam setelah mencuba buat pertama kali minggu lepas. Seperti biasa, sebelum memasak saya akan belek dari satu laman blog ke satu laman blog, mencuba sesuatu yang baru. Nasi ayam ni pun ada pelbagai jenis, pelbagai gaya masakan begitu juga dengan cara memasak ayamnya. Kali ni saya cuba cara masak ayam yang lain. Kalau minggu lepas ayam panggang bermadu kali ni ada sedikit kelainan. Tapi cara nak masak nasi, sambal cili dan sambal kicap saya guna cara yang sama. Rasa dah berselera benor saya dengan cara yang sama.


Bahan-Bahan:

  • Seekor ayam dipotong 4 bahagian
  • 3 ulas bawang putih
  • Sedikit lada hitam 
  • 2 sudu madu
  • 2 sudu sos tiram
  • kicap



Cara Penyediaan:

  1. Bawang putih ditumbuk lumat. Begitu juga lada hitam.
  2. Satukan lada hitam, bawang putih, sos tiram, madu dan kicap. Gaulkan ke seluruh ayam tadi. Perap selama 30 minit.
  3. Panaskan oven pada suhu 180 darjah.
  4. sebelum masukkan ke dalam ketuhar, lumurkan bahagian ayam dengan mentega.
  5. Bakar selama 40 minit (atau paling senang nak kata hingga masak).

Thursday 12 January 2012

Mi Hailam

Assalamualaikum .... alhamdulillah kerja saya hampir siap sejak hampir seminggu lebih bersengkang mata menyemak markah pelajar-pelajar saya. Jadi petang ni saya terlebih rajin sedikit. Balik saja dari kerja, terus singgah kedai beli bahan-bahan untuk masak Mi Hailam. Teringat sudah lama saya janji untuk masakkan untuk tok kesayangan saya. Saya pernah masakkan untuknya sekali dahulu (tak ingat bila). Selalu dipujinya masakan Mi Hailam saya tu ... 

Resepi ni saya tak dapat dari mana-mana buku/ majalah masakan ataupun blog. Resepi ni memang dari mak. Saya cuma ada ubah sedikit. Saya ni memang suka mengubah, tak pernah nak ikut tepat-tepat baik buat apa sahaja .... hehehe ... tapi kadangkala bila diubah pun sedap juga .... jadi di sini saya kongsikan resepi Mi Hailam saya .... mudah dan ringkas jer, tak payah pening kepala nak cari bahan. 


Nampak menarik tak Mi Hailam saya? hehehe


Bahan-Bahan:

  • Mi kuning 
  • 8 ekor udang
  • 6 ekor sotong, dipotong bulat
  • Bebola ikan (agak-agak berapa nak)
  • 1 biji bawang besar yang dihiris halus
  • 3 ulas bawang putih dihiris
  • 2 sudu cili kering
  • 3 sudu cili sos (saya suka lebihkan cili)
  • 1 sudu sos tiram
  • Sedikit sayur sawi dipotong
  • Kicap
  • Garam secukupnya

Cara Penyediaan:
  1. Tumis bawang besar dan bawang putih sehingga naik baunya. Masukkan sedikit garam dan ajinomoto (kalau suka). Masukkan cili kering yang telah dikisar tadi, biar hingga naik minyak.
  2. Kemudian masukkan cili sos dan sos tiram. Kacau seketika. Masukkan sotong dan udang. Selepas seketika masukkan bebola ikan dan isikan sedikit air sebagai kuah.
  3. Bila dah menggelegak baru masukkan mi dan kemudian sayur sawi. Jangan biarkan mi terlalu lama supaya tidak terlalu kembang. Siap dimasak boleh dihidangkan.
####Sesetengah orang suka masukkan sedikit tepung jagung untuk pekatkan kuah. Terpulang pada citarasa individu, tapi saya tak masukkan###


Tuesday 10 January 2012

Cucur Susu Lemak Manis

Dalam saya membelek beberapa blog rakan saya, terjumpalah saya dengan resepi ni. Nampak sedap dan menarik. Namanya pun sudah membuatkan hati saya membuak-buak untuk mencubanya. Terima kasih kepada Cendana Kasih (CK) sebab sudi berkongsi resepi dengan pengunjung-pengunjung blognya. Bagi yang ingin menjenguk blog Cendana Kasih boleh klik kat link ni  http://cendanakasih.blogspot.com.

Alhamdulillah petang tadi sempat saya mencubanya. Balik dari kerja terus cari susu segar kat Tesco. Mak, tok dan opah kat sedap. Adik ipar saya pun kata sedap. Jadi kat sini saya kongsilah cara nak membuat cucur susu lemak manis. Mana-mana yang nak cuba memang WAJIB cuba, tak rugi sebab memang sedap.



Bahan-Bahan:
  • 3 cawan tepung gandum
  • 1/2 sudu kecil baking powder (tapi saya tak bubuh, lupa nak beli)
  • 1/2 sudu bicarbonate soda
  • 8 sudu besar susu manis (lebihkan kalau suka)
  • 2 cawan susu segar cair
  • Sedikit garam


Cara Penyediaan:
  1. Ayakkan bahan-bahan kering ke dalam mangkuk.
  2. Masukkan susu manis dan susu segar cair sedikit demi sedikit. Kacau hingga adunan licin dan sebati. 
  3. Goreng cucur dalam minyak yang panas sambil dibelek-belek untuk mendapatkan cucur yang bulat gelembong hingga keperangan.
  4. Angkat dan hidangkan bila siap dimasak.



Sunday 8 January 2012

Nasi Ayam

Hari ni saya masak nasi ayam. Kali pertama juga mencubanya. Mula-mula nak ikut cara membuatnya melalui majalah Rasa, tapi belek punya belek saya tertarik dengan 'Nasi Ayam Ipoh Mali' dari blog '1001 Cerita 1001 Rasa'. Blog ni kepunyaan Noorsha. Terima kasih ya dik kerana sudi berkongsi resepi. Bagi yang nak jenguk blog Noorsha boleh klik kat link ni http://noorsha.blogspot.com

Saya cuma ikut 95%, ada sedikit perubahan yang saya lakukan terutama sup saya. Beza sama sekali tapi yang lain semuanya sama. Kalau ada yang nak resepi asal sila klik kat link di atas.




Bahan-Bahan Nasi:
  • 4 tin susu beras
  • 5 mug air rebusan ayam
  • 2 inci halia
  • 1 biji bawang besar
  • 3 biji bawang putih
  • 1 sudu besar minyak bijan
  • 2 helai daun pandan
  • 4 sudu mentega
Cara Penyediaannya:
  1. Masukkan majerin dalam periuk nasi, kemudian biarkan ianya cair. Kemudian masukkan bahan-bahan yang telah di blend (halia, bawang besar, bawang putih). Masukkan minyak bijan. Biar naik bau.
  2. Masukkan air rebusan ayam (kalau tak nak guna boleh guna kiub perisa ayam - actually saya guna kiub dan bukannya air rebusan ayam seperti resepi asal). Kemudian masukkan daun pandan dan sedikit garam.
  3. Masukkan beras, kacau dan kemudian biarkan nasi hingga masak.


Bahan untuk Ayam:
  • 1 ekor ayam
  • 3 biji bawang putih
  • 1 inci halia
  • 3 sudu besar kicap minyak manis
  • 2 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu besar cuka
  • 1 sudu besar madu
Cara Penyediaan Ayam:
  1. Ayam yang telah dibasuh dan ditoskan, direbus dahulu. (Saya lebih suka rebus dahulu)
  2. Masukkan bahan-bahan yang telah di blend tadi (halia, bawang putih) dan bahan-bahan lain seperti kicap, sos tiram, cuka, dan madu. 
  3. Kacau rata dan biarkan ayam diperap selama 1/2 jam.
  4. setelah diperap, bolehlah digoreng atau dibakar (tapi saya memilih untuk dibakar dalam oven)
  5. Bila dah masak, garing boleh diangkat.

Bahan Hiasan:
  • Tomato
  • Timun
  • Salad
  • Daun sup



Bahan untuk Sup:
  • 1/2 ayam dipotong kecil (direbus dahulu)
  • 1 batang lobak merah
  • 4 biji ubi kentang
  • Bebola ikan
  • 2 sup punjut adabi
  • Daun bawang dan daun sup dihiris halus
  • Sedikit air dan garam
  • Kiub ayam
Cara Penyediaan:
  1. Masukkan semua bahan-bahan di atas tadi dalam periuk kecuali daun sup dan daun bawang (masuk akhir sekali)
  2. Biarkan di atas api, kacau dan biarkan hingga masak.
  3. Hidangkan bersama nasi ayam tadi.

Bahan untuk Cili:
  • 10 - 15 biji cili burung
  • 6 biji cili merah
  • Sedikit halia
  • 5 - 6 biji bawang putih
  • 1 biji limau kasturi/ nipis
  • Sedikit air dari rebusan ayam
  • Garam dan gula secukup rasa
Cara Penyediaan:
  1. Masukkan semua bahan dalam blender dan blend hingga hancur


Bahan untuk Kicap:
  • 5 biji cili burung
  • Sedikit halia
  • 5 hingga 6 biji bawang putih
  • Kicap
  • Secukupnya air rebusan ayam
  • Tepung jagung untuk pekatkannya
Cara Penyediaan:
  1. Blend semua bahan kecuali tepung jagung. Selepas blend isi dalam periuk dan panaskan atas dapur. Agak-agak dah panas, boleh dimasukkan tepung jagung yang dicampurkan air untuk memekatkan kuah.

Cucur Cempedak

Musim buah-buahan datang lagi. Rumah saya tidak pernah putus dengan buah-buahan sejak opah dan tok tinggal bersama saya dengan mak. Mak cik-mak cik saya sering menghantar durian, rambutan, langsat, dukong, pisang, manggis dan cempedak. Alhamdulillah murah rezeki kami sekeluarga tahun ni. Kalau ada lagi hantar lagi ya ... hehehe

Melihat di dapur masih ada cempedak, mulalah mereka-reka nak masak sebagai sarapan pagi. Goreng cempedak sudah, apakata kali ni buat cucur cempedak pula. Lagipun buahnya dah terlalu masak, kalau nak dibuat goreng tak beberapa sedap.

Jadi kat sini saya kongsikan sedikit cara nak buat cucur cempedak. 



Bahan-Bahan:
  • Cempedak 
  • Tepung gandum
  • Garam
  • Sedikit air


Cara Penyediaannya:
  1. Cempedak dibuang bijinya dan kemudian di blend (kalau tak nak blend pun tak apa, boleh lenyekkan ia, tapi saya blend supaya ia jadi halus).
  2. Cempedak yang sudah di blend dimasukkan ke dalam mangkuk. Isikan tepung gandum, sedikit garam. Masukkan air sedikit demi sedikit. Biarkan adunan sebati.
  3. Panaskan kuali dan goreng hingga masak.

Saturday 7 January 2012

Muffin

Hari ni  saya buat muffin sebagai hidangan makan petang bersama keluarga. Tambahan adik saya nak balik Gerik hari ni, jadi saya memang dan siap-siap membeli bahan-bahan untuk membuat muffin di Tesco. Pagi-pagi dah keluar dengan cinta hati saya, Danish dan Pa.

Muffin yang saya buat ni adalah muffin segera. Adunannya telah siap sedia. Saya cuma perlu tambah 3 biji telur, sedikit minyak dan air. Ada 2 perasa yang saya beli iaitu oren dan cokelat. Cuma pesanan saya, adunan ini harus dikacau atau diputar hingga kembang  dan ringan supaya ia naik gebu. 


Adik saya bilang sedap. Siap dibungkus bawa balik lagi. Lihat cinta hati saya, Yaya makan pun buat hati saya seronok. Tak henti-henti dia mengunyah. Bila habis minta lagi. Tak sia-sia buat bila ada yang suka makan.


Oh ya, lupa nak bagi tau saya beli adunan muffin ni jenama Nona. Memang sedap, tak rugi beli.


Sunday 1 January 2012

Hidangan Tengah Hari

 Hari ni saya bekerjasama dengan mak di dapur memasak tiga hidangan iaitu sotong masak kicap, ikan masak cuka (resepi ni saya dapat dari mak) dan akhirnya kubis goreng kunyit. Kubis goreng kunyit dan ikan masak cuka ni first time belajar cara nak membuatnya. Selama ni makan dikedai mamak saja bagi kubis goreng kunyit dan ikan plak biasanya mak yang masak, hari ni saya dok mencuba .... hehe

Sotong Masak Kicap

Bahan-Bahan:
  • 1 kilo sotong, dibersihkan.
  • 1 biji bawang besar ditumbuk, 1 biji lagi dipotong bulat untuk hiasan.
  • 3 biji bawang putih ditumbuk
  • Sedikit lada benggala merah dan hijau (dipotong memanjang)
  • Kicap
  • Garam, ajinomoto
Cara Penyediaannya:
  • Tumis bawang besar dan bawang putih yang telah ditmbuk tadi di dalam kuali hingga naik baunya.
  • Bubuh garam dan ajinomoto
  • Kemudian masukkan kicap, kacau dan masukkan sotong. 
  • Agak-agak dekat nak masak, masukkan lada benggala dan bawang yang telah dipotong bulat tadi. Kacau dan biarkan seketika. Kemudian angkat dan boleh dihidang.


Ikan Masak Cuka


Bahan-Bahan:
  • 5 ekor ikan merah disiang dan dibasuh dengan limau.
  • Sedikit cuka
  • Sedikit biji sawi
  • 1 biji bawang besar dihiris dan 1 biji lagi dipotong bulat
  • 3 biji bawang putih diketuk
  • 4 biji cili merah dibelah memanjang
  • Garam dan ajinomoto.
Cara Penyediannya:
  1. Ikan digoreng dahulu 
  2. Setelah siap, angkat dan ketepikan. Isikan sedikit minyak di dalam kuali, tumis wang besar yang dihiris dan bawang putih. Masukkan biji sawi. Biar sampai naik baunya.
  3. Masukkan garam dan ajinomoto dan kemudian masukkan cuka. Selepas itu isikan air dan biarkan ia menggelegak.
  4. Kemudian masukkan ikan merah tadi, cili merah dan bawang besar yang telah dipotong. Kacau seketika dan kemudian boleh dihidangkan.
Kubis Goreng Kunyit



Bahan-Bahan:
  • Sayur kubis
  • 2 batang lobak merah
  • Sedikit biji sawi
  • 1 biji bawang besar (hiris halus)
  • 3 ulas bawang putih (hiris halus)
  • 1 sudu minyak bijan
  • Daun kari
  • 2 biji cili merah (hiris halus)
  • Sedikit kunyit
  • Sedikit garam




Cara Penyediaan:
  1. Tumiskan bawang besar, bawang putih dalam minyak yang panas. Masukkan garam dan ajinomoto. Kemudian masukkan biji sawi, daun kari dan minyak bijan. Kacau hingga naik baunya. Masukkan sedikit kunyit pula.
  2. Masukkan kubis bulat dan lobak merah yang telah dipotong. Kacau dan akhir sekali masukkan cili merah yang telah dihiris halu.
  3. Masak dan hidangkan bila siap dimasak.