Showing posts with label Nasi. Show all posts
Showing posts with label Nasi. Show all posts

Wednesday, 16 January 2013

Nasi Hujan Panas


Assalamualaikum ....

Saya masih dalam mood bercuti. Hari ni saya ke dapur tanpa dibantu oleh emak. Kata emak, dia mahu berehat hari ini. Jadi saya menyiapkan hidangan tengah hari untuk hari ini. Dari pagi terfikir-fikir apa yang sedap untuk dimasak. Emak mencadangkan saya untuk masak nasi hujan panas. Katanya lama dah saya tak buat nasi hujan panas atau nasi minyak. Saya turuti permintaan emak, dan untuk itu saya masak ayam kicap berlada dan kubis untuk dimakan bersama nasi hujan panas. Cadangan asal nak buat ayam masak merah tapi last minit saya cancel ayam masak merah dan tukar kepada ayam kicap berlada kegemaran saya.

Tanpa membuang masa, saya kongsikan resepi nasi hujan panas. Resepi nasi hujan panas ni saya ambil dari blog masak "Dari Dapur MaDiHaA". Saya memang suka kunjungi blog 'Dari Dapur MaDiHaA'. Resepinya enak-enak sekali. Kalau ada yang berminat nak kunjungi leh klik kat link ini http://mamawandiha.blogspot.com. Walaupun saya rajin membeli buku-buku resepi tetapi bila nak masak sure saya cari dalam blog masak. :) Mungkin mudah dan cepat agaknya berbanding mencari dalam buku.


Ok di sini saya kongsikan resepi Nasi Hujan Panas.
Sumber: "Dari Dapur MaDiHaA"

Bahan-Bahannya:
  • 4 cawan beras basmathi (saya guna beras biasa saja)
  • 5 cawan air
  • 2 kiub ayam
  • 2 helai daun pandan
  • Pewarna merah, kuning dan hijau (saya tak der kaler kuning jadi saya gantikan dengan kaler oren)

Bahan-Bahan Tumis:
  • 1/2 inci halia
  • 2 ulas bawang putih
  • 1/2 biji bawang besar
  • 2 sudu minyak masak
  • 1 audu besar minyak sapi
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 3 kuntum bunga cengkih
  • 3 biji buah pelaga

Bahan Hias:
  • Bawang Goreng
  • Kismis


Cara Penyediaan:
  1. Cuci beras dan rendam selama 10 minit.
  2. Hiris nipis-nipis halia dan mayang semua jenis bawang.
  3. Panaskan minyak dan tumiskan semua bahan sehingga bau wangi.
  4. Masukkan beras dan gaul rata.
  5. Masukkan air, kiub ayam dan daun pandan.
  6. Masakkan nasi sehingga masak.
  7. Bila nasi sudah masak, titikkan pewarna kuning, merah dan hijau.
  8. Hias dengan bawang goreng, gajus atau kismis. Saya cuma gunakan bawang goreng dan kismis saja.



Selamat Mencuba!

Sunday, 23 September 2012

Nasi Ayam



Assalamualaikum ....

Hari ni saya nak share resepi nasi ayam. Saya dapat resepi dari tunang sepupu saya, Nisa. Actually ada banyak cara nak masak nasi ayam ni. Ini resepi kedua yang saya cuba.

Nak masak nasi ayam ni kena bahagikan kepada beberapa peringkat. Pertama kena masak dahulu nasinya, kemudian digoreng atau dipanggang ayam, sup sayur atau sup ayam, sambal dan kicap.







Bahan-bahan untuk nasi. 

Kalau saya hari ni saya masak 4 tin (beras disukat dalam tin susu) kerana adik saya pulang.

Untuk ditumis, blender bawang besar, bawang putih dan halia. Panaskan periuk atas api. Masukkan 3 sudu marjerin. Setelah itu, masukkan bahan-bahan yang di blender tadi. Tumis hingga naik baunya. Kemudian masukkan sebatang serai (ketuk aja), dan kiub pati ayam. Kacau hingga naik baunya.

Masukkan 5 cawan air atau air rebusan ayam tadi (air mengikut berapa banyak beras yang dimasak). Bila dah menggelegak masukkan beras tadi. Jangan lupa masukkan garam secukup rasa. Kemudian tutup periuk dan biar nasi masak.











Bahan-Bahan untuk Ayam.





Seekor ayam dibelah empat. Rebus ayam di dalam kuali. Sementara itu, blender bawang besar, bawang putih dan sedikit halia. Masukkan sekali sedikit madu, kicap dan kiub pati ayam.

Lumurkan ayam yam yang telah direbus tadi dengan bahan-bahan yang di blender. Perap selama 10 minit.

Selepas itu panaskan kuali, kemudian digoreng. Ayam juga boleh dipanggang di dalam oven.

Oh ya untuk membuat sambal nasi ayam:

Blenderkan cili merah dan bawang putih. Panaskan periuk. Masukkan bahan-bahan yang diblender tadi. Bubuh sedikit gula dan 1 sudu sos tomato.







Bahan untuk Sup

Sebiji bawang dihiris, bawang putih 3 ulas dihiris dan 1 inci halia. Masukkan bahan-bahan ini ke dalam periuk. Isikan air secukupnya ke dalam periuk. Masakkan. Masukkan sup punjut adabi dan kiub pati ayam. (Ada juga sesetengah dari kita yang masukkan air rebusan ayam tetapi saya tidak masukkan. Masukkan juga garam secukupnya.

Masukkan kentang. Kentang perlu dimasukkan dahulu supaya ia cepat empuk. Biarkan hingga menggelegak, masukkan bunga kubis dan juga bebola ikan. Akhir sekali masukkan daun bawang dan daun sup.

Siap untuk dihidangkan bersama nasi ayam.





Yang ini pula adalah hirisan timun, tomato dan salad untuk dimakan bersama nasi aym.



Sunday, 5 February 2012

Nasi Hujan Panas

Assalamualaikum .....
Hari ni keluarga besar saya berkumpul. Kedua-dua adik saya balik hari ni. Rumah saya penuh dengan riuh rendah suara, ketawa dan tangisan cinta hati saya (Danish, Pa, Yaya dan Cham Cham). 

Hari ni saya masak masakan yang istimewa iaitu nasi beriani. Lauknya ialah Pajeri terung dan Ayam Rendang Cili Padi tetapi untuk kedua-dua lauk ini dimasak oleh emak kesayangan saya. Saya cuma tolong sedikit sahaja.

Jadi saya kongsikan resepi nasi beriani sahaja kerana ini adalah usaha air tangan saya sendiri. Manakala Pajeri Terung dan Rendang Ayam Cili Padi saya cuma letakkan gambar sahaja. Nanti bila saya dah sediakan sendiri resepinya baru saya letakkan resepinya ^_^.





Pajeri Terung yang dimasak oleh emak


Rendang Ayam Cili Padi yang dimasak oleh emak

Sunday, 8 January 2012

Nasi Ayam

Hari ni saya masak nasi ayam. Kali pertama juga mencubanya. Mula-mula nak ikut cara membuatnya melalui majalah Rasa, tapi belek punya belek saya tertarik dengan 'Nasi Ayam Ipoh Mali' dari blog '1001 Cerita 1001 Rasa'. Blog ni kepunyaan Noorsha. Terima kasih ya dik kerana sudi berkongsi resepi. Bagi yang nak jenguk blog Noorsha boleh klik kat link ni http://noorsha.blogspot.com

Saya cuma ikut 95%, ada sedikit perubahan yang saya lakukan terutama sup saya. Beza sama sekali tapi yang lain semuanya sama. Kalau ada yang nak resepi asal sila klik kat link di atas.




Bahan-Bahan Nasi:
  • 4 tin susu beras
  • 5 mug air rebusan ayam
  • 2 inci halia
  • 1 biji bawang besar
  • 3 biji bawang putih
  • 1 sudu besar minyak bijan
  • 2 helai daun pandan
  • 4 sudu mentega
Cara Penyediaannya:
  1. Masukkan majerin dalam periuk nasi, kemudian biarkan ianya cair. Kemudian masukkan bahan-bahan yang telah di blend (halia, bawang besar, bawang putih). Masukkan minyak bijan. Biar naik bau.
  2. Masukkan air rebusan ayam (kalau tak nak guna boleh guna kiub perisa ayam - actually saya guna kiub dan bukannya air rebusan ayam seperti resepi asal). Kemudian masukkan daun pandan dan sedikit garam.
  3. Masukkan beras, kacau dan kemudian biarkan nasi hingga masak.


Bahan untuk Ayam:
  • 1 ekor ayam
  • 3 biji bawang putih
  • 1 inci halia
  • 3 sudu besar kicap minyak manis
  • 2 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu besar cuka
  • 1 sudu besar madu
Cara Penyediaan Ayam:
  1. Ayam yang telah dibasuh dan ditoskan, direbus dahulu. (Saya lebih suka rebus dahulu)
  2. Masukkan bahan-bahan yang telah di blend tadi (halia, bawang putih) dan bahan-bahan lain seperti kicap, sos tiram, cuka, dan madu. 
  3. Kacau rata dan biarkan ayam diperap selama 1/2 jam.
  4. setelah diperap, bolehlah digoreng atau dibakar (tapi saya memilih untuk dibakar dalam oven)
  5. Bila dah masak, garing boleh diangkat.

Bahan Hiasan:
  • Tomato
  • Timun
  • Salad
  • Daun sup



Bahan untuk Sup:
  • 1/2 ayam dipotong kecil (direbus dahulu)
  • 1 batang lobak merah
  • 4 biji ubi kentang
  • Bebola ikan
  • 2 sup punjut adabi
  • Daun bawang dan daun sup dihiris halus
  • Sedikit air dan garam
  • Kiub ayam
Cara Penyediaan:
  1. Masukkan semua bahan-bahan di atas tadi dalam periuk kecuali daun sup dan daun bawang (masuk akhir sekali)
  2. Biarkan di atas api, kacau dan biarkan hingga masak.
  3. Hidangkan bersama nasi ayam tadi.

Bahan untuk Cili:
  • 10 - 15 biji cili burung
  • 6 biji cili merah
  • Sedikit halia
  • 5 - 6 biji bawang putih
  • 1 biji limau kasturi/ nipis
  • Sedikit air dari rebusan ayam
  • Garam dan gula secukup rasa
Cara Penyediaan:
  1. Masukkan semua bahan dalam blender dan blend hingga hancur


Bahan untuk Kicap:
  • 5 biji cili burung
  • Sedikit halia
  • 5 hingga 6 biji bawang putih
  • Kicap
  • Secukupnya air rebusan ayam
  • Tepung jagung untuk pekatkannya
Cara Penyediaan:
  1. Blend semua bahan kecuali tepung jagung. Selepas blend isi dalam periuk dan panaskan atas dapur. Agak-agak dah panas, boleh dimasukkan tepung jagung yang dicampurkan air untuk memekatkan kuah.

Monday, 5 September 2011

Nasi Goreng Ikan sardin

Hari ni saya cuti. Mak pula pergi kerja. Bukan main lama saya termenung memikirkan apa yang saya nak makan untuk tengah hari ni. Nak masak lauk pauk rasa malas plak hehehe .... tiba-tiba teringat plak lama dah tak makan nasi goreng ikan sardin. Menu ni saya tak ikut mana-mana pun, ciptaaan saya sendiri. Sebenarnya nak masak nasi goreng ni bukannya susah sangat, bubuh bahan itu, bahan ini makan jadilah, asalkan jangan terlebih garam atau terkurang garam. Kot-kot ternganga lak nanti masa memakannya ^_^

Bahan-bahannya
  • Nasi
  • Ikan sardin tin
  • Sebiji bawang besar
  • 2 ulas bawang putih
  • 10 biji cili padi (kalau mau pedas boleh lebihkan bilangannya)
  • 1 biji telur
  • Kicap
  • Sayur (apa-apa sayur pun boleh janji sesuai dengan citarasa anda)
Cara Penyediaan

  1. Tumbuk cili padi, bawang besar, bawang putih
  2. Tuangkan sedikit minyak dalam kuali
  3. Tumiskan bahan-bahan yang ditumbuk tadi hingga naik baunya
  4. Bubuh sedikit garam dan pak aji (bagi yang makan pak aji)
  5. Bubuh sardin, biarkan masak
  6. Masukkan telur
  7. Bubuh nasi ke dalam kuali, kacau hingga sekata
  8. Bubuh kicap
  9. Masukkan sayur, biarkan hingga masak dan angkat.
Maka siaplah nasi goreng ikan sardin saya ^_^ senang jer kan .... tak yah susah-susah, biasanya semua bahan-bahan ni biasanya memang dah sedia ada di dapur rumah masing-masing.