Tuesday 29 April 2014

Kek Pisang

Assalamualaikum dan Selamat Pagi ....

Mak Long bercuti hari ini. Cuti-cuti beginilah Mak Long ambil kesempatan untuk update blog Mak Long, memasukkan resepi-resepi yang telah Mak Long cuba di dapur Mak Long. Ada sesetengahnya Mak Long dah masak untuk keluarga Mak Long beberapa minggu yang lepas tetapi tidak berkesempatan untuk memasukkan dalam blog  Mak Long. Jadi di pagi yang indah dan tenang ni :) ini Mak Long nak berkongsi resepi kegemaran keluarga Mak Long. Kalau nak kira setiap hujung minggu mesti ada kek pisang ni.



BAHAN-BAHAN
  • 4 biji pisang emas 
  • 1 cawan gula pasir
  • 1 cawan minyak masak
  • 4 biji telur gred  A
  • 1 1/2 cawan tepung gandum*
  • 1 sudu teh baking powder*
  • 1 sudu teh soda bikarbonat*
  • 1 sudu besar air limau nipis (boleh digantikan dengan cuka masakan)
  • 1 sudu teh esen pisang (vanilla)
     ( ayak bahan-bahan yang bertanda *)


CARA-CARA
  1. Panaskan oven pada suhu 185'C api atas bawah.
  2. Kisar gula, telur, minyak di dalam blender hingga putih (3 hingga 5 minit)
  3. Tuang ke dalam mangkuk. Masukkan bahan ayak dan kacau rata dengan senduk.
  4. Masukkan pisang, esen dan air limau. Gaul sebati.
  5. Tuang adunan ke dalam loyang. Bakar di dalam oven selama 45 minit atau sehingga kek masak sepenuhnya.

Friday 25 April 2014

Tempahan Kek Coklat Moist With Buttercream


Hari ni Mak Long mendapat tempahan dari staff Hospital Batu Gajah. Dua biji jek coklat moist with buttercream yang bertemakan padang rumput sempena sambutan hari jadi untuk 3 orang staff di Hospital Batu Gajah. 

Terima kasih kerana sudi menempah dari Mak Long. Harap puas hati. Di sini Mak Long kongsikan gambar 2 biji kek coklat moist yang hampir sama tetapi still ada perbezaannya sedikit.






Thursday 24 April 2014

Biskut Lidah Kucing Kapuchino


Mak Long tak nak berceloteh panjang, sebenarnya sebentar tadi Mak Long dah celoteh panjang lebar ketika berkongsikan resepi Biskut Lidah Kucing atau Rainbow Cookies. Sila rujuk entry Mak Long sebelum ini atau tengok kat bahagian LABEL di tepi ni dan cari perkataan BISKUT.

Hari ni Mak Long buat dua jenis lidah kucing iaitu Lidah Kucing yang begitu meriah ala ... ala warna pelangi dan satu lagi Biskut Lidah Kucing Kapuchino. Resepi asal adalah dari blog citarasawan juga cuma Mak Long ada ubahsuai sedikit jer.

So tanpa membuang masa, jom kita lihat bagaimana cara-cara nak buat Biskut Lidah Kucing Kapuchino. Selamat Mencuba!


BAHAN-BAHAN

  • 250 gm mentega
  • 175 gm gula kastor
  • 75 ml putih telur
  • 250 gm tepung gandum - ayak
  • 1 sudu makan kapuchino
  • 1/4 baking powder (Mak Long tak bubuh)
  • 1/2 sudu teh emplex
  • 30 gm choc. rice

  • Loyang lidah kucing - di gris dengan mentega


CARA-CARA

  1. Pukul mentega dan gula hingga berkrim. Masukkan putih telur sedikit demi sedikit dan putar hingga sebati. Masukkan paste kapuchino dan gaul hingga rata.
  2. Masukkan tepung dan kaup balikkan dengan spatula hingga rata. Masukkan choc. rice, gaul rata.
  3. Masukkan adunan ke dalam piping bag dengan nozzle bulat dan picitkan lurus memanjang ke dalam loyang.
  4. Bakar dalam oven yang dipanaskan dahulu pada suhu 150'C selama 15 hingga 20 minit.

Biskut Lidah Kucing @ Rainbow Cookies

Assalamualaikum semua ...

Hari ni Mak Long dalam keadaan mood yang rajin untuk mencuba membuat Biskut Lidah Kucing ni. Geram benor Mak Long apabila melihat kemeriahan Biskut Lidah Kucing ni di facebook dan blog teman-teman Mak Long. 

Biskut Lidah Kucing ni sebenarnya amat terkenal di Indonesia dan demam biskut ni telah melanda negara kita begitu pantas sekali. Rata-rata memperkatakan tentang Biskut Lidah Kucing ni dan di sini ada yang yang menggelarnya sebagai Rainbow Cookies. Mungkin disebabkan warnanya yang berwarna-warni. 

Sebenarnya loyang Biskut Lidah Kucing ni Mak Long dah beli tahun lepas secara online. Siap beli dua loyang lagi ketika itu. Konon-kononnya nak buat biskut raya tahun lepas tapi tak berkesempatan. Lepas raya, loyang ni terperam kat dalam kotak, :) baru hari ni dikeluarkan. Memandangkan hari ni Mak Long bercuti dan kebetulan juga cinta hati Mak Long akan pulang dari Grik dan Sabah pada hari Jumaat dan Sabtu ni maka makin bertambah teruja Mak Long untuk mencuba resepi ini untuk disajikan kepada cinta hati Mak Long yang tersayang.

Resepi asal Mak Long ambil dari blog Citarasawan. Mak Long memang pengikut setia blog Citarasawan. Tabik hormat pada Kak Wan yang berkebolehan untuk buat macam-macam jenis masakan. Kalau yang nak jenguk blog Kak Wan boleh klik kat link ni http://citarasawan.blogspot.com. Mak Long memang tak ada ubah apa-apa. Original resepi dari blog Kak Wan.

Jadi di sini Mak Long kongsikan resepi Biskut Lidah Kucing ni untuk manfaat kita bersama.


BAHAN-BAHAN
  • 250 gm mentega
  • 175 gm gula kastor
  • 100 ml putih telur
  • 200 gm tepung gandum
  • 50 gm tepung jagung
  • 1/4 sudu teh emplex (perangup biskut)

  • Pewarna ungu, biru, kuning, hijau dan merah (ikut kesukaan)
  • Loyang lidah kucing - di gris dengan mentega


CARA-CARA
  1. Ayak tepung gandum, tepung jagung dan emplex - Ketepikan.
  2. Pukul mentega dan gula hingga berkrim. Masukkan putih telur sedikit demi sedikit dan putar sehingga sebati.
  3. Masukkan tepung dan kaup balikkan dengan spatula hingga rata..
  4. Bahagiakan adunan kepada 5 bahagian (kalau ikut blog citarasawan 6 bahagian - Mak Long kehabisan pewarna oren).
  5. Masukkan adunan ke dalam pipimg bag dengan nozzle bulat dan picit lurus mendatar ke dalam loyang lidah kucing mengikut susunan warna pelangi.
  6. Bakar dalam suhu 150'C selama 15 minit.


Inilah hasilnya bila dah siap. Selamat Mencuba!