Saturday 25 February 2012

Bubur Jagung


Sejak beberapa hari yang lepas, saya teringin sangat nak makan bubur jagung. Pergi pasar malam semalam, saya beli 5 tongkoi jagung dengan harga RM3. Kat pasar malam juga sempat saya membeli buah mempelam. Teringin nak buat Ice belended mango. Semuanya teringin nak makan .... hehehe .... makin menggebu lah badan saya ni ... tambahan sejak akhir-akhir ni sibuk mencuba pelbagai resepi baru dan belajar memasak. Seronok juga belajar memasak ni, bila berjaya dapat rasa kepuasan yang teramat sangat tambahan bila dapat mencuba sesuatu yang baru.


Berbalik kepada kisah bubur jagung, bahan-bahan yang nak digunakan tak banyak dan mudah didapati. Ni kat bawah ni saya senaraikan bahan-bahannya:
  • Jagung (dibuang daunnya dan bulu-bulunya, bersihkan). Jagung diparut.
  • Sebiji kelapa yang diambil santannya.
  • 3 sudu besar gula merah. Nak guna gula kabung pun boleh. Tak nak guna kedua-duanya pun tak apa. Tapi saya lebih suka bubuh gula merah supaya kuahnya nampak coklat-coklat sikit.
  • 1 1/2 senduk gula (ikut rasa anda, nak manis bubuh lebih, kalau nak main-manis buah jer bubuh sikit).
  • Daun pandan untuk mewangikan
  • Segenggam sagu (Jangan terlalu banyak)
  • Sedikit air.

Cara nak menyediakannya pun mudah juga. Masukkan semua bahan-bahan tadi ke dalam periuk kecuali sagu. Panaskan dalam api yang kecil. Sentiasa kacau. Dekat-dekat nak masak baru bubuhkan sagu. Dah masak boleh angkat dan hidangkan pada keluarga tercinta.



Beginilah hasilnya bila dah siap.

Sunday 19 February 2012

Bergedil


Saya tidak mahu berbicara panjang. Kiranya entri ini sambungan entri saya sebelum ini. Selain daripada ayam goreng rangup, saya juga memasak bergedil untuk hidangan tengah hari. Bergedil paling simple tapi menyelerakan. Bergedil merupakan makanan kegemaran saya. Kalau ada depan mata, tak pandang kiri kanan lagi dah hehehe .... silap ari bulan bakal mak mertua lalu belakang pun tak nampak hehehe .... :) 

Masa bulan puasa, bergedil paling saya suka beli. Makan dengan nasi cukup enak sekali. Kat sini saya kongsikan cara nak buat bergedil. Resepi ni tak ambil mana-mana pun. Saya buat sendiri. Bergedil paling malas sebab tak bubuh ayam atau daging. Tetapi jangan pandang sepi jer bergedil saya ni, kalau dah cuba, nak minta lagi ... hehehe ... adik saya sampai merungut la katanya saya buat sedikit jer ....


Bahan-bahan:
  • 8 biji ubi kentang
  • Sedikit daun sup dan daun bawang (ikut suka anda kuantitinya)
  • Sedikit lada sulah
  • Sedikit garam
  • 2 biji telur
  • Sedikit minyak
Cara Penyediaan:
  1. Potong kentang nipis-nipis atau sederhana. Gaulkan dengan garam pastu goreng hingga kekuningan.
  2. Setelah digoreng, lenyekkan hingga lumat.
  3. Masukkan daun sup dan daun bawang yang telah dicincang halus. Masukkan juga lada sulah dan gaul hingga sebati.
  4. Buatkan bulat-bulat. Saiznya terpulang ikut kesukaan. Saya buat sederhana jer ....
  5. Celupkan dalam telur dan goreng dalam minyak yang panas hingga kekuningan.
  6. Angkat dan hidangkan bersama keluarga tercinta.

Ayam Goreng Rangup


Hari ni adik-adik saya balik. Adik saya dah lama keluar yang tinggal saya dan cinta hati saya Danish. Danish memang begitu, dia jarang ikut mak dan ayahnya keluar kalau balik kampung. Bila ditanya, katanya nak tinggal ngan mak long. Ialah cinta hati saya yang seorang ni .... saya pun memang suka kalau dia menemani saya kalau dia balik. Seronok bila ada teman untuk bermain dan dipeluk.

Danish hari ni menolong saya di dapur atau lebih mudah dikatakan mak longnya memasak dia pulak menghuru-harakan dapur. Tapi kalau diminta tolong, bukan main baiknya dia menolong. Tu yang buat mak long bertambah sayang.

Adik saya dah siap pesan kat saya suruh buat nasi ayam. Jadi menu tengah hari ni memang nasi ayam. Tapi resepinya saya tak letak di sini sebab sebelum ni pernah saya letakkan. Menu tambahan adalah ayam goreng rangup dan bergedil. 

Jadi kat sini saya kongsikan resepi ayam goreng rangup dan bergedil. Oh ya, minta maaf banyak-banyak sebab gambar tak beberapa jelas. Kamera saya demam hari ni, pening kepala saya dengan kamera saya. Kadang-kadang gambarnya elok, kadang-kadang tak elok. Tapi apa-apa pun inilah hasilnya.


Bahan-Bahan:
  • 5 ketul ayam bahagian dada (dibasuh elok-elok)
  • 2 biji telur ayam
  • 2 cawan tepung gandum
  • 1 cawan serbuk roti
  • Sedikit garam
  • Minyak untuk menggoreng
Cara Penyediaan:
  1. Gaulkan ayam dengan sedikit garam. Kemudian, celupkan ayam ke dalam telur.
  2. Selepas tu, gaulkan ayam tadi dengan tepung gandum dan serbuk. Ulang langkah ini hingga selesai.
  3. Panaskan minyak dan goreng hingga kekuningan.

Sunday 5 February 2012

Ice Blended Mango

Untuk hari Ahad kali ni memang kebanyakan masa saya dihabiskan di dapur. Setelah menyiapkan Agar-Agar Santan Gula Merah, saya dengan baik hatinya menyediakan Ice Blended Mango untuk minum petang. Cuaca panas-panas cam gini memang segar rasanya bila dapat menikmati Ice Blended Mango.

Cara nak buatnya pun cukup mudah. Tak perlu ambil masa yang lama.



Bahan-Bahannya:
  • 1 biji mempelam masak dipotong dadu
  • 1 cawan ais cubes
  • 1 cawan air
  • 2 sudu besar susu pekat
  • Gula (pilihan)
  • Ceri sebagai hiasan tapi saya tak bubuh sebab kat umah tak der ceri. ^_^


Cara Penyediaan:
  1. Blend semua bahan di atas hingga ais hancur. Kecuali ceri yer sebab ceri tu untuk hiasan.
  2. Letakkan satu scoop ais krim vanilla atau mango.
  3. Letakkan ceri kat tepi aiskrim.
  4. Pas tu layannnnnnnnnnnnnnnnn .... hehehe
Oh ya terima kasih kepada kak Sarimah Md Ali. Saya ambil resepi ni dari facebook Kongsi Resepi Masakan.

Agar-Agar Santan Gula Melaka.

Minggu ni minggu agar-agar. Semalam saya buat agar-agar Seri Ayu. Hari ni pula saya buat Agar-Agar Santan Gula Melaka. Saya buat khas untuk family besar saya, terutama sekali untuk cinta hati saya Danish, Pa, Yaya dan Cham Cham.

Dibawah ni saya kongsi cara nak buat. Selamat mencuba bagi yang nak cuba ... hehehe....



Bahan-Bahannya:
  • 1 bungkus agar-agar
  • 2 senduk gula (agak-agak anda berdasarkan kuantiti yang anda buat)
  • 1 biji santan kelapa
  • 1 biji telur ayam
  • Sedikit gula merah
  • Daun pandan untuk kasi wangi


Cara Penyediaan:
  1. Agar-agar dimasukkan ke dalam air yang sedang mendidih. Biarkan agar-agar larut.
  2. Masukkan gula dan daun pandan. Kacau.
  3. Pukul telur hingga kembang di dalam mangkuk dan kemudian masukkan santan.
  4. Setelah agar-agar larut, masukkan gula merah dan kemudian santan bersama telur tadi.
  5. Setelah masak, masukkan ke dalam loyang dan sejukkan di dalam peti ais.

Nasi Hujan Panas

Assalamualaikum .....
Hari ni keluarga besar saya berkumpul. Kedua-dua adik saya balik hari ni. Rumah saya penuh dengan riuh rendah suara, ketawa dan tangisan cinta hati saya (Danish, Pa, Yaya dan Cham Cham). 

Hari ni saya masak masakan yang istimewa iaitu nasi beriani. Lauknya ialah Pajeri terung dan Ayam Rendang Cili Padi tetapi untuk kedua-dua lauk ini dimasak oleh emak kesayangan saya. Saya cuma tolong sedikit sahaja.

Jadi saya kongsikan resepi nasi beriani sahaja kerana ini adalah usaha air tangan saya sendiri. Manakala Pajeri Terung dan Rendang Ayam Cili Padi saya cuma letakkan gambar sahaja. Nanti bila saya dah sediakan sendiri resepinya baru saya letakkan resepinya ^_^.





Pajeri Terung yang dimasak oleh emak


Rendang Ayam Cili Padi yang dimasak oleh emak

Saturday 4 February 2012

Ayam Kicap Berlada

Assalamualaikum ....

Entri ni adalah kesinambungan daripada entri saya sebelum ini. Selain daripada memasak udang goreng chrispy atau udang goreng rangup, saya juga memasak ayam kicap berlada. Opah suka sangat-sangat. Katanya kuahnya sedap sangat bila digaul dengan nasi Bukan sahaja opah, saya juga sebenarnya suka sangat ayam kicap berlada. Kalau ayam ditukar dengan daging lagilah sedap sampai menjilat jari. Resepi ni saya dapat dari mak. Memang emak selalu memasaknya untuk kami adik-beradik sejak dari kecil.

Cuma saya nak minta maaf sedikit tentang gambar ayam kicap berlada yang saya ambil ni agak gelap sedikit. Saya pun tak tahu nak buat cam mana dengan kamera saya, adakalanya gambar elok jelas, adakalanya hmmm susah nak cakap ....  :( terima ajalah ....

Apa-apa pun di bawah ni saya sertakan bahan-bahan yang digunakan dan cara penyediaan ayam kicap berlada.



Bahan-Bahannya:
  • 8 belah kepak ayam (bahagian mana-mana pun boleh, kebetulan hari tu saya gi TESCO dan beli kepak ayam ni).
  • 3 biji ubi kentang dipotong bulat. Potong nipis.
  • 3 sudu teh cabai kering yang telah dikisar
  • Kicap secukupnya (agak-agak dan saya guna kicap kipas udang)
  • 1 1/2 biji bawang besar ditumbuk bersama dengan 3 ulas bawang putih.
  • Sedikit air asam jawa
  • Ajinomoto (ikut suka nak bubuh)
  • Sedikit garam


Cara Penyediaan:
  1. Tumis bawang besar dan bawang putih yang ditumbuk lumat dalam minyak yang panas. Masukkan sedikit garam dan juga ajinomoto.
  2. Setelah naik baunya, masukkan cabai kering. Biar sampai naik minyaknya dan masukkan kicap kipas udang. Kacau.
  3. Masukkan sedikit air asam jawa. Kemudian masukkan ubi kentang dan biarkan hingga masak (menggelegak dan kentang lembut).
  4. Akhir sekali masukkan ayam, kacau agar sebati dan kemudian boleh dihidangkan.

Udang Goreng Chrispy

Assalamualaikum dan apa khabar?

Untuk hidangan tengah hari pada hari Sabtu ni, saya ambil keputusan nak masak udang goreng Crispy atau udang goreng rangup. Pertama kali saya mencubanya. Hari Jumaat saya dan kawan baik saya bb, dok melepak kat TESCO lepas habis kerja. Dalam belek punya belek saya ternampak Chrispy Japanese Bread Crumbs. Sesuai digunakan untuk menggoreng ayam, udang, daging kambing dan sebagainya. Teringin sekali nak mencubanya, kebetulan juga saya beli udang ketika tu. Selalunya kalau udang ni saya selalu masak sambal tumis udang, goreng kunyit, gulai lemak atau gulai tempoyak udang. Sekali sekala apa kata ubah selera. Resepi yang paling mudah dan cepat.



Untuk membuatnya mudah saja. Saya buat dalam setengah kilo udang saja. Udang dibersihkan terlebih dahulu dan dilumurkan dengan garam (kalau tak tawar). Kemudian celupkan udang ke dalam telur dan tepung gandum. Selepas itu baru gaulkan udang dengan Japanese Bread Crumbs Nago. Gorengkannya dengan minyak panas hingga keemasan.


Sebenarnya saya ni tak beberapa sukakan udang. Bukannya tak makan, tetapi bukanlah kegemaran tetapi bila saya goreng udang dengan Japanese Bread Crumbs Nago ni, saya memang berselera terutama sekali dalam bab-bab meratah udang. Mak saya pun kata sedap. Alhamdulillah, keluarga kecil saya gemar sangat. Mak siap pesan lagi cuba buat udang goreng dengan mentega lak ... hehehe .... kena cari resepi ni, tak pandai lagi .... bagus juga ada dunia blog ni, semuanya boleh dikongsi bersama-sama. Nak masak, cari jer resepi dalam internet .... macam-macam ada.


Bila dah siap inilah hasilnya 

Agar-Agar Seri Ayu

Seawal jam 9 pagi saya dah dok memikir apa menu untuk petang nanti. Hari ni hari cuti. Sejak opah dan tok duduk di rumah saya, setiap Sabtu dan Ahad rumah saya atau lebih mudah kata rumah mak saya menjadi tempat berkumpul adik-beradik sebelah mak. Persidangan Parlimen akan dibuka hehehe ^_^. Biasanya saya akan memasak apa sahaja untuk menjamu mak cik dan pak cik saya yang datang. Biasanya saya akan mencuba resepi baru.

Kali ni saya nak buat agar-agar. Dalam membelek buku-buku resepi, terlintas di fikiran saya untuk mencuba resepi baru. Saya reka sendiri. Sebenarnya memasak ni bukannya susah, asalkan kita berani mencuba. Bahan-bahannya semua dah ada di rumah.

Agar-agar ni saya namakan sebagai Agar-Agar Seri Ayu.



Bahan-Bahannya:

Lapisan Pertama (Bawah)
  • Agar-agar
  • Sedikit gula (agak-agak manis buah, kalau yang suka manis boleh bubuh banyak)
  • 2 sudu teh serbuk Koko Van Houten
  • 2 sudu teh susu pekat
  • Daun pandan (untuk mewangikan)
Lapisan Kedua (Tengah)
  • Agar-agar
  • Sedikit gula
  • 1 cawan susu segar (saya guna jenama Goodday)
  • Daun Pandan (untuk mewangikan)
Lapisan Ketiga (Atas)
  • Agar-agar
  • Sedikit gula
  • 2 sudu teh serbuk koko Van Houten
  • 1 cawan susu segar (Goodday)
  • Daun Pandan (untuk mewangikan)



Cara Penyediaan mudah sahaja untuk agar-agar ni. Tak kira untuk lapisan pertama, kedua atau ketiga kaedah yang digunakan adalah sama cuma bahan-bahannya ada sedikit berbeza. agar-agar tersebut harus dibuat selapis demi selapis (masukkan dalam loyang/ acuan selapis demi selapis. Biar keras sedikit baru masukkan lapisan yang seterusnya).

Agar-agar tadi dimasakkan dalam air yang mendidih. Masukkan gula dan daun pandan agar baunya wangi. Setelah agar-agar tersebut larut, masukkan sama ada serbuk koko Van Houten tadi ataupun susu segar. Setelah siap masukkan dalam loyang/ acuan. Ulang semula hingga lapisan yang ketiga.

Cara paling mudah buat sekali semua dan kemudian asingkan ke dalam tiga bahagian. Mana-mana pun boleh.