Thursday, 24 April 2014

Biskut Lidah Kucing @ Rainbow Cookies

Assalamualaikum semua ...

Hari ni Mak Long dalam keadaan mood yang rajin untuk mencuba membuat Biskut Lidah Kucing ni. Geram benor Mak Long apabila melihat kemeriahan Biskut Lidah Kucing ni di facebook dan blog teman-teman Mak Long. 

Biskut Lidah Kucing ni sebenarnya amat terkenal di Indonesia dan demam biskut ni telah melanda negara kita begitu pantas sekali. Rata-rata memperkatakan tentang Biskut Lidah Kucing ni dan di sini ada yang yang menggelarnya sebagai Rainbow Cookies. Mungkin disebabkan warnanya yang berwarna-warni. 

Sebenarnya loyang Biskut Lidah Kucing ni Mak Long dah beli tahun lepas secara online. Siap beli dua loyang lagi ketika itu. Konon-kononnya nak buat biskut raya tahun lepas tapi tak berkesempatan. Lepas raya, loyang ni terperam kat dalam kotak, :) baru hari ni dikeluarkan. Memandangkan hari ni Mak Long bercuti dan kebetulan juga cinta hati Mak Long akan pulang dari Grik dan Sabah pada hari Jumaat dan Sabtu ni maka makin bertambah teruja Mak Long untuk mencuba resepi ini untuk disajikan kepada cinta hati Mak Long yang tersayang.

Resepi asal Mak Long ambil dari blog Citarasawan. Mak Long memang pengikut setia blog Citarasawan. Tabik hormat pada Kak Wan yang berkebolehan untuk buat macam-macam jenis masakan. Kalau yang nak jenguk blog Kak Wan boleh klik kat link ni http://citarasawan.blogspot.com. Mak Long memang tak ada ubah apa-apa. Original resepi dari blog Kak Wan.

Jadi di sini Mak Long kongsikan resepi Biskut Lidah Kucing ni untuk manfaat kita bersama.


BAHAN-BAHAN
  • 250 gm mentega
  • 175 gm gula kastor
  • 100 ml putih telur
  • 200 gm tepung gandum
  • 50 gm tepung jagung
  • 1/4 sudu teh emplex (perangup biskut)

  • Pewarna ungu, biru, kuning, hijau dan merah (ikut kesukaan)
  • Loyang lidah kucing - di gris dengan mentega


CARA-CARA
  1. Ayak tepung gandum, tepung jagung dan emplex - Ketepikan.
  2. Pukul mentega dan gula hingga berkrim. Masukkan putih telur sedikit demi sedikit dan putar sehingga sebati.
  3. Masukkan tepung dan kaup balikkan dengan spatula hingga rata..
  4. Bahagiakan adunan kepada 5 bahagian (kalau ikut blog citarasawan 6 bahagian - Mak Long kehabisan pewarna oren).
  5. Masukkan adunan ke dalam pipimg bag dengan nozzle bulat dan picit lurus mendatar ke dalam loyang lidah kucing mengikut susunan warna pelangi.
  6. Bakar dalam suhu 150'C selama 15 minit.


Inilah hasilnya bila dah siap. Selamat Mencuba!

1 comment:

Nurul Dania said...

kalau guna icing sugar bukan gula kastor boleh?