Tuesday, 29 April 2014

Kek Pisang

Assalamualaikum dan Selamat Pagi ....

Mak Long bercuti hari ini. Cuti-cuti beginilah Mak Long ambil kesempatan untuk update blog Mak Long, memasukkan resepi-resepi yang telah Mak Long cuba di dapur Mak Long. Ada sesetengahnya Mak Long dah masak untuk keluarga Mak Long beberapa minggu yang lepas tetapi tidak berkesempatan untuk memasukkan dalam blog  Mak Long. Jadi di pagi yang indah dan tenang ni :) ini Mak Long nak berkongsi resepi kegemaran keluarga Mak Long. Kalau nak kira setiap hujung minggu mesti ada kek pisang ni.



BAHAN-BAHAN
  • 4 biji pisang emas 
  • 1 cawan gula pasir
  • 1 cawan minyak masak
  • 4 biji telur gred  A
  • 1 1/2 cawan tepung gandum*
  • 1 sudu teh baking powder*
  • 1 sudu teh soda bikarbonat*
  • 1 sudu besar air limau nipis (boleh digantikan dengan cuka masakan)
  • 1 sudu teh esen pisang (vanilla)
     ( ayak bahan-bahan yang bertanda *)


CARA-CARA
  1. Panaskan oven pada suhu 185'C api atas bawah.
  2. Kisar gula, telur, minyak di dalam blender hingga putih (3 hingga 5 minit)
  3. Tuang ke dalam mangkuk. Masukkan bahan ayak dan kacau rata dengan senduk.
  4. Masukkan pisang, esen dan air limau. Gaul sebati.
  5. Tuang adunan ke dalam loyang. Bakar di dalam oven selama 45 minit atau sehingga kek masak sepenuhnya.

Friday, 25 April 2014

Tempahan Kek Coklat Moist With Buttercream


Hari ni Mak Long mendapat tempahan dari staff Hospital Batu Gajah. Dua biji jek coklat moist with buttercream yang bertemakan padang rumput sempena sambutan hari jadi untuk 3 orang staff di Hospital Batu Gajah. 

Terima kasih kerana sudi menempah dari Mak Long. Harap puas hati. Di sini Mak Long kongsikan gambar 2 biji kek coklat moist yang hampir sama tetapi still ada perbezaannya sedikit.






Thursday, 24 April 2014

Biskut Lidah Kucing Kapuchino


Mak Long tak nak berceloteh panjang, sebenarnya sebentar tadi Mak Long dah celoteh panjang lebar ketika berkongsikan resepi Biskut Lidah Kucing atau Rainbow Cookies. Sila rujuk entry Mak Long sebelum ini atau tengok kat bahagian LABEL di tepi ni dan cari perkataan BISKUT.

Hari ni Mak Long buat dua jenis lidah kucing iaitu Lidah Kucing yang begitu meriah ala ... ala warna pelangi dan satu lagi Biskut Lidah Kucing Kapuchino. Resepi asal adalah dari blog citarasawan juga cuma Mak Long ada ubahsuai sedikit jer.

So tanpa membuang masa, jom kita lihat bagaimana cara-cara nak buat Biskut Lidah Kucing Kapuchino. Selamat Mencuba!


BAHAN-BAHAN

  • 250 gm mentega
  • 175 gm gula kastor
  • 75 ml putih telur
  • 250 gm tepung gandum - ayak
  • 1 sudu makan kapuchino
  • 1/4 baking powder (Mak Long tak bubuh)
  • 1/2 sudu teh emplex
  • 30 gm choc. rice

  • Loyang lidah kucing - di gris dengan mentega


CARA-CARA

  1. Pukul mentega dan gula hingga berkrim. Masukkan putih telur sedikit demi sedikit dan putar hingga sebati. Masukkan paste kapuchino dan gaul hingga rata.
  2. Masukkan tepung dan kaup balikkan dengan spatula hingga rata. Masukkan choc. rice, gaul rata.
  3. Masukkan adunan ke dalam piping bag dengan nozzle bulat dan picitkan lurus memanjang ke dalam loyang.
  4. Bakar dalam oven yang dipanaskan dahulu pada suhu 150'C selama 15 hingga 20 minit.

Biskut Lidah Kucing @ Rainbow Cookies

Assalamualaikum semua ...

Hari ni Mak Long dalam keadaan mood yang rajin untuk mencuba membuat Biskut Lidah Kucing ni. Geram benor Mak Long apabila melihat kemeriahan Biskut Lidah Kucing ni di facebook dan blog teman-teman Mak Long. 

Biskut Lidah Kucing ni sebenarnya amat terkenal di Indonesia dan demam biskut ni telah melanda negara kita begitu pantas sekali. Rata-rata memperkatakan tentang Biskut Lidah Kucing ni dan di sini ada yang yang menggelarnya sebagai Rainbow Cookies. Mungkin disebabkan warnanya yang berwarna-warni. 

Sebenarnya loyang Biskut Lidah Kucing ni Mak Long dah beli tahun lepas secara online. Siap beli dua loyang lagi ketika itu. Konon-kononnya nak buat biskut raya tahun lepas tapi tak berkesempatan. Lepas raya, loyang ni terperam kat dalam kotak, :) baru hari ni dikeluarkan. Memandangkan hari ni Mak Long bercuti dan kebetulan juga cinta hati Mak Long akan pulang dari Grik dan Sabah pada hari Jumaat dan Sabtu ni maka makin bertambah teruja Mak Long untuk mencuba resepi ini untuk disajikan kepada cinta hati Mak Long yang tersayang.

Resepi asal Mak Long ambil dari blog Citarasawan. Mak Long memang pengikut setia blog Citarasawan. Tabik hormat pada Kak Wan yang berkebolehan untuk buat macam-macam jenis masakan. Kalau yang nak jenguk blog Kak Wan boleh klik kat link ni http://citarasawan.blogspot.com. Mak Long memang tak ada ubah apa-apa. Original resepi dari blog Kak Wan.

Jadi di sini Mak Long kongsikan resepi Biskut Lidah Kucing ni untuk manfaat kita bersama.


BAHAN-BAHAN
  • 250 gm mentega
  • 175 gm gula kastor
  • 100 ml putih telur
  • 200 gm tepung gandum
  • 50 gm tepung jagung
  • 1/4 sudu teh emplex (perangup biskut)

  • Pewarna ungu, biru, kuning, hijau dan merah (ikut kesukaan)
  • Loyang lidah kucing - di gris dengan mentega


CARA-CARA
  1. Ayak tepung gandum, tepung jagung dan emplex - Ketepikan.
  2. Pukul mentega dan gula hingga berkrim. Masukkan putih telur sedikit demi sedikit dan putar sehingga sebati.
  3. Masukkan tepung dan kaup balikkan dengan spatula hingga rata..
  4. Bahagiakan adunan kepada 5 bahagian (kalau ikut blog citarasawan 6 bahagian - Mak Long kehabisan pewarna oren).
  5. Masukkan adunan ke dalam pipimg bag dengan nozzle bulat dan picit lurus mendatar ke dalam loyang lidah kucing mengikut susunan warna pelangi.
  6. Bakar dalam suhu 150'C selama 15 minit.


Inilah hasilnya bila dah siap. Selamat Mencuba!

Thursday, 30 January 2014

Tempahan Kek Coklat Moist

Tempahan kek coklat moist yang dibuat untuk adik Nur Hidayah yang berusia 23 tahun. Kek ini telah ditempah oleh ibu, Nur Hidayah.


"Selamat Hari Lahir buat adik Nur Hidayah. Moga dimurahkan rezeki dan berbahagia selalu".





Wednesday, 1 January 2014

Tempahan Kek Coklat Moist dan Kek Pelangi



ASSALAMUALAIKUM dan Selamat Tahun Baru Dari Dapur Mak Long. Alhamdulillah awal tahun baru, Mak Long mendapat tempahan kek coklat dari sepupu Mak Long untuk birthday bonda kesayangannya, Hasnah Saidin ataupun Mak Long panggil sebagai Mak Cho sahaja. Terima kasih Shira. Sambutan hari jadi dilakukan di rumah mak cik, Mak Long dan kebetulan pada hari yang sama, mak cik Mak Long mengadakan kenduri kesyukuran. Selain daripada kek coklat moist, mak cik dan sepupu Mak Long juga telah menempah 2 biji kek pelangi dan 1 butter kek. Alhamdulillah rezeki yang tak diduga, syukur sangat-sangat.



Oh ya sempena tahun baru 2014, Mak Long nak ucapkan Selamat Tahun Baru buat pengunjung blog Dari Dapur Mak Long. Mak Long bukanlah blogger yang terkenal tetapi Mak Long perkongsian resepi di sini dapat memberi manfaat kepada semua yang mencintai dunia masakan. Malahan matlamat penubuhan blog ini juga adalah untuk berkongsi ilmu dengan semua yang mencintai dunia masakan dan juga memudahkan Mak Long mencari resepi-resepi yang Mak Long buat.

Terima kasih buat semuanya. Semoga tahun baru ini dimanfaat sebaik-baik mungkin. Mak Long tiada azam baru di tahun baru ni cuma ingin memperbaiki kelemahan-kelemahan diri dan menjadi yang terbaik buat keluarga Mak Long yang tersayang.


Friday, 20 December 2013

Kek Cawan Red Velvet


ASSALAMUALAIKUM 

Hai, Selamat Malam semua semua pengunjung blog yang mengunjungi blog Dari Dapur Mak Long. Malam ni Mak Long nak kongsikan resepi Kek Cawan Red Velvet.  Kek Cawan Red Velvet ni memang kegemaran Mak Long. Sebenarnya Kek Cawan Red Velvet ni dah lama Mak Long buat cuma Mak Long tak berkesempatan nak kongsi resepinya. Bagi yang nak cuba buat pertama kalinya atau nak cuba resepi Mak Long ni, dipersilakan.


BAHAN-BAHAN A:

  • 250gm tepung gandum
  • 1 sudu teh serbuk penaik
  • 2 sudu teh serbuk koko
  • 50gm walnut cincang
  • 113gm mentega
  • 150gm gula kastor
  • 1 sudu teh vanila
  • 2 biji telur

BAHAN B: BUTTERMILK
  • 240ml susu cair
  • 1 sudu makan pewarna merah
  • 1 sudu teh cuka
**Cara membuat buttermilk sendiri) - Campurkan susu cair dan cuka, biarkan selama 10 minit. Kemudian masukkan pewarna merah)***

Tambahan:
  • 1 sudu teh cuka
  • 1 sudu teh soda bikarbonat


CARA PENYEDIAAN:
  1. Ayak tepung, serbuk penaik dan serbuk koko. Selepas ayak, masukkan walnut dan gaul. Ketepikan seketika.
  2. Pukul mentega, gula kastor dan vanila sampai gula hancur. Masukkan telur sebiji demi sebiji. Pukul sampai kembang.
  3. Campurkan 'buttermilk' berselang seli dengan bahan tepung yang diayak ke dalam bancuhan.
  4. Dalam bekas kecil lain, masukkan bahan tambahan seperti serbuk penaik, kemudian tuangkan cuka. Apabila habis buih, masukkan bahan ini dalam adunan tadi.
  5. Masukkan sedikit adunan ke dalam kertas cawan. Bakar selama 20 minit dengan suhu 170'.

ISING KEJU/ CHEESE

BAHAN-BAHAN:
  • 360gm krim keju/ cheese
  • 70gm mentega
  • 200gm gula aising

CARA PENYEDIAAN:
  • Putarkan krim keju dan mentega sampai kembang.
  • Masukkan gula aising dan kacau rata.

Monday, 9 December 2013

Tempahan Barbie Doll Cake

Alhamdulillah rezeki datang lagi. Syukur sangat-sangat. Kali ni Mak Long dapat tempahan untuk Barbie Doll Cake dari seorang kawan kepada sepupu Mak Long. Biasanya kalau Barbie Doll Cake ni, Mak Long akan gunakan sponge cake tapi atas permintaan dari yang empunya kek, kali ni Mak Long buat Red Velvet atau Si Baldu Merah.

Kombinasi warna yang Mak Long gunakan kali ni adalah pink dan putih. Mak Long buat ala-ala taman, kononnya puteri sedang ambil angin di taman.  

So kat bawah ni Mak Long kongsikan gambar tempahan kek kali ni. Ikutkan hati nak bubuh semua hehehe tapi rasanya melampau laaaa pulak kalau dah banyak sangat. So ini adalah yang terbaik yang Mak Long pilih. Oh, ya terima kasih juga buat cousin, Mak Long yang sudi tangkap photo kek ni memandangkan Mak Long tak sempat nak tangkap gara-gara nak gi kerja.

Bukan senang yek nak agihkan masa ngan karier dan hobi ..... hehehe .....  :)









Wednesday, 4 December 2013

Muffin Coklat Pisang

ASSALAMUALAIKUM ....

Kali pertama Mak Long cuba buat Muffin Coklat Pisang ni. Resepinya Mak Long ambil dari http://e-nalovelykitchen.blogspot.com/. Terima kasih banyak-banyak atas perkongsian resepinya. So Mak Long panjangkan ilmunya moga kita mendapat manfaat dan pahala kerana berkongsi ilmu.

Bagi penggemar muffin, anda boleh cuba resepi ni. Sangat-sangat sedap. Kalau Mak Long buat lagi sekali Mak Long akan tambah kuantiti pisangnya supaya lebih terasa pisangnya. Al-maklumlah Mak Long ni penggemar pisang. Oh ya, untuk ingat Mak Long, kalau buat kali kedua nanti Mak Long akan kurangkan sedikit sebuk kokonya. So di bawah ini adalah resepi asalnya dari e-novelyn kitchen.


BAHAN-BAHANNYA:
  • 100gm pisang (sebiji pisang besar)
  • 100gm tepung gandum
  • 50gm mentega dicairkan
  • 20gm serbuk koko
  • 50gm gula halus
  • 1 biji telur
  • 1 tsp baking powder
  • 50ml fresh milk
  • choc. chip, almond/ walnut untuk tabur atas muffin. Mak Long guna choc. chip.

CARA PENYEDIAAN:

  1. Panaskan oven 180'
  2. Cairkan mentega di dalam periuk dengan api perlahan.
  3. Tepung gandum, serbuk koko dan baking powder diayak.
  4. Masukkan pisang dalam mangkuk dan lenyek dengan garpu.
  5. Kemudian masukkan fresh milk ke dalam pisang tadi dan kacau rata.
  6. Telur dipukul sedikit dengan garfu supaya bergaul kuning dan putihnya. 
  7. Kemudian masukkan ke dalam pisang tadi dan kacau sebati.
  8. Masukkan tepung dan kacau sebati.
  9. Akhir sekali masukkan mentega yang dicairkan tadi dan kacau rata.
  10. Kemudian masukkan ke dalam muffin cup dan taburkan choc. chip di atasnya.
  11. Bakar dengan suhu 180' selama 25 minit (ikut saiz oven masing-masing)


SELAMAT MENCUBA DARI MAK LONG.

Sunday, 1 December 2013

Tempahan Barbie Doll Cake

Salam 1 Malaysia Dari Dapur Mak Long. Baru hari ni Mak Long sempat upload photo tempahan kek Barbie Doll. Sebenarnya kek ni telah ditempah pada 17 November. Simple saja kek barbie Doll kali ni. Menggunakan kombinasi warna putih dan pink untuk pakaiannya. Bunga Ros Mak Long selitkan di rambut dan juga Mak Long letakkan di pakaian. Lepas tu Mak Long buat ala-alat puteri kat taman, rumput-rumput hijau, bunga ros bewarna kuning dan batu-batu (coklat tu hehehe) di tepi-tepi bunga ros.

Hopefully puas hati dengan apa yang Mak Long buat. 




Saturday, 23 November 2013

Biskut Sarang Semut

ASSALAMUALAIKUM ....

Mata Mak Long tak leh nak tidor. Cinta hati Mak Long, Danish dah lena diulit mimpi-mimpi indah. Malam ni sambil dok melayan Maharaja Lawak Mega, Mak Long nak kongsikan resepi biskut Sarang Semut. Kalau tiap kali raya mesti ada biskut ni. Favourite Mak Long dan bonda kesayangan Mak Long. Kadangkala Mak Long jual gak biskut ni time raya, cuma tahun ni jer Mak Long tak ambil tempahan untuk biskut ni sebab Mak Long lebih fokus untuk memasarkan biskut yang Mak Long belajar dalam kelas-kelas biskut yang Mak Long sertai.

So tanpa membuang masa Mak Long kongsikan resepi biskut ni. Sebenarnya resepi ni Mak Long ambil dari majalah SAJI tapi Mak Long dah lupa tahun bila dan keluaran bila sebab bila time Mak Long buat, Mak Long dah catat awal-awal resepinya kat buku catatan Mak Long.



BAHAN-BAHAN:
  • 125gm mentega
  • 50gm gula
  • 175gm tepung gandum (diayak)
  • 50gm tepung jagung (diayak)
  • 1 biji kuning telur
  • 1 sudu kecil esen vanila
  • Sedikit serbuk koko Van Hauten

BAHAN HIASAN
  • Mangkuk kertas
  • Coklat Urai


CARA PENYEDIAAN

  1. Satukan mentega dan gula. Putar kedua-dua bahan tersebut hingga kembang.
  2. Masukkan kuning telur dan esen vanila. Putar kembali adunan tersebut.
  3. Masukkan tepung gandum dan tepung jagung. Uli sehingga menjadi doh.
  4. Kemudian bahagikan kepada dua bahagian. Bahagian kedua dibubuh serbuk koko dan uli sehingga sebati.
  5. Ambil sedikit adunan dan parut. Parut satu arah sahaja.
  6. Kemudian masukkan ke dalam mangkuk kertas. Mak Long letak separuh coklat dan adunan asal.
  7. Taburkan coklat urai diatasnya.
  8. Bakar selama 15 hingga 20 minit mengikut oven masing-masing.


Sunday, 17 November 2013

Biskut Arab

ASSALAMUALAIKUM dan SELAMAT PAGI

Untuk pagi yang indah tenang ni, Mak Long nak kongsikan resepi biskut Arab. Kalau semalam Mak Long dah share resepi biskut Kristal Pelangi so this lovely morning, Mak Long nak share resepi adik-beradik biskut Kristal Pelangi iaitu biskut Arab. Kalau time raya, biskut inilah yang paling dapat tempahan paling banyak, menduduki  carta yang pertama.

Resepi untuk biskut Arab ni memang Mak Long dapat dari bonda kesayangan Mak Long. Dari segi teknik dan cara-cara pembuatannya supaya bila dah dimakan cair dimulut. Kalau tak caya boleh tempah dari Mak Long. Kalau tak nak tempah, leh ambil resepi kat sini. Mudah jer nak membuatnya. Bahan-bahan tak banyak digunakan. Tak yah pening-pening nak cari bahan-bahannya kat kedai barang-barang menjual bahan kek.  :)


BAHAN-BAHAN:

  • Tepung gandum 1kg
  • Minyak Sapi 500gm
  • 200gm gula aising
  • Mangkuk kertas

CARA PENYEDIAAN:
  1. Panas dan sejukkan minyak sapi.
  2. Uli tepung gandum dan minyak sapi sehingga menjadi doh.
  3. Bentuk dan bulatkan seperti gambar di atas. Letakkan di atas mangkuk kertas.
  4. Bakar pada suhu 180' selama 20 minit.
  5. Selepas disejukkan taburkan gula aising.



Akhir kata Selamat Mencuba dari Mak Long.

Biskut Kristal Pelangi


ASSALAMUALAIKUM

Malam ni Mak Long nak share resepi biskut Kristal Pelangi. Dengar namanya pun dah tau kan pasti warnanya berwarna-warni. Biskut Kristal Pelangi ni merupakan salah satu favourite biskut Mak Long. Dulu masa mula-mula keluar biskut ni tak ingat year berapa, ia dikenali sebagai Biskut Saddam Hussin. Tak tau kenapa? Tapi rasanya mungkin masa tu tengah kes pencerobohan Amerika Syarikat kat Iraq kot, tu yang boleh terbubuh nama Saddam Hussin kat biskut ni. Tapi sekarang mungkin dah dikomersilkan so dah tukar nama kepada Biskut Kristal Pelangi.

Nak buat biskut ni mudah jer. Kos nak buat pun Mak Long rasa tak mahal kerana bahan-bahan yang digunakan tak banyak dan tak lah mahal sangat kecuali minyak sapi. Kalau yang nak cuba resepi ni boleh cuba, kalau nak tempah dari Mak Long pun boleh. :)



BAHAN-BAHAN:

  • 250gm tepung gandum
  • 125gm gula halus
  • 125gm minyak sapi (agak-agak sampai tepung tu boleh jadi doh, jangan terlalu lembik atau keras nanti tak leh nak bentuk bulat-bulat)
  • Pewarna merah, kuning dan hijau.



CARA PENYEDIAAN:

  1. Masukkan tepung gandum (yang dah ditapis), gula dan minyak sapi. Pastikan minyak sapi telah dicairkan dan disejukkan terlebih dahulu.
  2. Gaulkan hingga menjadi doh.
  3. Bahagikan kepada 3 bahagian dan titiskan setiap bahagian dengan pwarna merah, hijau dan kuning. Jangan bubuh pewarna terlalu banyak.
  4. Ambil sedikit doh dari setiap bahagian dan gulung memanjang. Kemudian potong doh tadi mengikut saiz yang dikehendaki..
  5. Kemudian bulatkan dan letak atas mangkuk kertas.
  6. Bakar dalam suhu 180'C selama 15 minit (ikut oven masing-masing)
  7. Bila dah masak, gaulkan dengan gula kastor.



Sunday, 10 November 2013

Snowy Cheese


Assalamualaikum ....

Hari ni Mak Long nak share resepi Snowy Cheese atau nama lainnya Cheese leleh bila kita buat dalam bekas-bekas kecil. Snowy Cheese ni memang meletup-letup sekarang. Buka mana-mana fb atau blog mesti ada cheese leleh ni, dah macam tsunami cheese leleh .... hehehe .... tapi memang sedap pun. Tambah-tambah bila time baru keluar dari peti ais, rasanya memang menakjubkan. Terima kasih buat RAHEL BLOGSPOT yang sudi berkongsi resepi buat Mak Long dan sahabat-sahabat dari dunia maya ini. Jadi untuk memanjangkan ilmu so Mak Long kongsikan resepi ni di blog Mak Long. Moga semua dapat manfaat daripadanya. Moga kita dapat menyediakan hidangan yang terbaik buat keluarga kita dan mencari rezeki melalui perkongsian ilmu ini. Bagi yang nak kunjungi blog RAHEL BLOGSPOT ni  sila klik kat link ni, pasti ada banyak ilmu dalam dunia masakan yang dapat kita kongsikan bersama-sama. So jangan lupa klik kat sini http://rahelblog-rahel.blogspot.com/2013/09/cheese-cake-meleleh.html

BAHAN-BAHAN:


  • 100gm tepung hongkong (Mak Long guna tepung gandum jer)
  • 60gm tepung jagung*
  • 1 sudu kecil baking powder*
  • 1 sudu besar ovalette
  • 100gm gula kastor
  • 4 biji telur
  • 2 biji kuning telur
  • 50ml air sejuk (dari peti sejuk)
  • 75gm mentega cair.

CARA PENYEDIAAN:

  1. Ayakkan dahulu bahan-bahan yang bertanda *
  2. Campurkan semua bahan-bahan di atas kecuali mentega cair.
  3. Pukul sampai gebu dan masukkan mentega cair. Sebatikan.
  4. Bakar dalam oven suhu 150' selama 45 minit (ikut saiz oven masing-masing)

BAHAN-BAHAN UNTUK CREAM:

  • 250gm cream cheese 
  • 120gm susu pekat
  • 50ml UHT whipping cream
*Campurkan semua bahan-bahan di atas. Adunan ini memang cair*


BAHAN-BAHAN UNTUK HIASAN:

  • 250gm (1 buku) cheddar cheese (diparut)

CARA PENYEDIAAN

  1. Kek yang telah dimasak tadi, dibelah dua. Tuangkan cheese cream pada lapisan pertama. 
  2. Lapiskan dengan lapisan kek yang kedua.
  3. Tuangkan semua baki cream cheeese tadi. Sapu rata di atas dan keliling.
  4. Parutkan cheddar cheese di atas kek tadi.